Berdoa setiap hari untuk pulang

Mohd Rafi Mamatam@hmetro.com.my

SELEPAS lebih sebulan terkandas di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lapan penuntut dari Sarawak akhirnya pulang ke kampung halaman masing-masing hari ini.

Mereka menaiki penerbangan pada 8.15 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Penuntut tahun empat jurusan pergigian, Asrul Romdani Bujang Saili, 22, berkata, dia bersyukur kerana dibenarkan pulang ke kampung dan usaha itu mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak sebelum dilaksanakan.

“Sebelum ini, saya menjangkakan kerajaan tidak akan membenarkan kami pulang ke kampung susulan wabak Covid-19, namun sebaliknya yang berlaku.

“Syukur doa yang dipanjatkan setiap hari dimakbulkan Allah dan hari ini saya dan rakan lain sudah selamat sampai di Bumi Kenyalang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dia yang berasal dari Kampung Jaya Ria, Serian berkata, sepanjang berada di asrama pihak universiti menyediakan pelbagai kemudahan seperti makan dan pengangkutan untuk keluar membeli barangan keperluan.

Rakannya, Dayangku Auni Awgku Royhatas Kaloski, 20, berkata, hadiah paling bermakna pada Ramadan kali ini ialah dibenarkan pulang ke kampung.

“Saya berharap rakan yang belum dapat pulang bersabar, kita sama-sama berdoa supaya diberi kemudahan tanpa banyak masalah.

“Kini kami menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di hotel demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah UIAM Kuantan Prof Dr Kamaruzzaman Yunos berkata, seramai 286 penuntut UIAM Kuantan yang akan pulang ke kampung menerusi ‘Operasi Pulang’ secara berperingkat mengikut zon.

Menurutnya, dua kumpulan penuntut yang kediaman mereka dari kawasan zon hijau sudah pulang, manakala pergerakan seterusnya adalah malam ini dan esok serta minggu depan.

Source: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/05/573792/berdoa-setiap-hari-untuk-pulang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *